You are herePerniagaan Pengehosan Laman Web / Penjual Semua (Reseller) - Pengehosan Berkongsi

Penjual Semua (Reseller) - Pengehosan Berkongsi


By masa2 - Posted on 23 May 2008

Perniagaan penjualan semula pengehosan laman web adalah satu konsep yang banyak diguna pakai pada hari ini di mana anda menyewa ruangan di dalam pelayan web (web server) daripada pemilik pelayan web secara pukal. Selain daripada ruang, pemili pelayan web juga akan menghadkan jumlah jalur lebar (bandwidth) yang anda boleh guna (selalunya diukur secara bulanan).

Kebanyakkan pemilik pelayan web akan memberikan anda Pelayan Nama Domain (Domain Name Server - DNS) anda sendiri yang boleh anda jenamakan. Ianya dikenali sebagai Penjualan Semula Label Peribadi (Private Label Reseller) atau Penjualan Semula Tanpa Label (White Label Reseller).

Pemilik pelayan web akan memberikan kepada anda akses kepada ruangan sewaan anda dan aplikasi untuk menguruskannya. Terdapat pelbagai aplikasi yang wujud pada masa kini, di antaranya WebHostManager/Cpanel, Plesk, Helm dan sebagainya. Menggunakan aplikasi ini, anda boleh membahagi-bahagikan ruangan yang anda sewa dan juga jumlah jalur lebar. Pembahagian yang dilakukan terhad kepada jumlah yang anda sewa dari pemilik pelayan web.

Selain daripada dua sumber yang dihadkan di atas (iaitu jumlah ruang dan jumlah jalur lebar yang boleh digunakan selama sebulan), sumber-sumber lain selalunya diberikan tanpa had kepada anda. Ini termasuk, jumlah subdomain yang boleh dibina, jumlah pengkalan data yang boleh dibina, jumlah akaun email yang boleh dibina, dan sebagainya. Pembahagian sumber-sumber tanpa had ini kepada anda boleh dilakukan kerana sumber-sumber ini masih bergantung dan terhad kepada jumlah ruang dan jalur lebar yang anda sewa.

Dalam erti kata lain, walaupun misalnya anda tidak mempunyai had untuk membina pengkalan data mahupun akaun email, namun pengkalan data dan email menggunakan ruang dan akses kepadanya terhad kepada jumlah jalur lebar yang diperuntukkan kepada anda. Oleh itu, sumber-sumber tanpa had ini sebenarnya masih bergantung dan terhad ruangan dan jalur lebar yang anda beli.

Kaedah pembahagian inilah yang dinamakan sebagai mempakej semula (repackaging) yang kemudiannya anda jual kepada pelanggan anda. Dengan pembahagian bijak, anda mampu untuk menjana pulangan atau keuntungan bagi perniagaan anda.

Dari segi pentadbiran perniagaan pula, anda membuat pakej anda sendiri, dengan harga anda sendiri. Anda mengutip bayaran dari pelanggan anda (yang 100% milik anda kerana anda telah membayar harga pukal sebelumnya) dan memberikan bantuan teknikal kepada pelanggan anda.

Hubungan anda dengan pemilik pelayan web hanya wujud di peringkat permasalahan mengenai pelayan web dan aplikasi pelayan web. Pemilik pelayan web tidak akan memberikan bantuan kepada pelanggan anda. Masalah pelanggan anda berkaitan dengan pelayan web dan aplikasi pelayan web perlu anda kemukakan kepada pemilik pelayan web, yang kemudiannya akan diselesaikan untuk anda.

Secara ringkasnya, perniagaan pengehosan secara penjualan semula adalah:

  • Anda menyewa ruangan untuk perniagaan anda dari pemilik pelayan web.
  • Anda membeli secara pukal ruangan di dalam pelayan web dan jalur lebar yang boleh digunakan
  • Anda bebas membuat pakej anda sendiri.
  • Anda menggunakan nama pelayan web anda sendiri (selalunya diberi percuma).
  • Anda mengebil dan mengutip bayaran dari pelanggan anda.
  • Anda bertanggungjawab memberikan bantuan teknikal.