You are herePerniagaan Pengehosan Laman Web / Agen Jualan

Agen Jualan


By masa2 - Posted on 30 May 2008

Agen jualan pengehosan laman web adalah satu kaedah perniagaan yang mudah dan sesuai bagi mereka yang baru ingin berjinak-jinak dalam perniagaan ini. Sebagai agen jualan anda akan menjual pakej-pakej pengehosan dari syarikat-syarikat tertentu bagi pihak syarikat tersebut. Anda kemudiannya akan menerima komisen bagi setiap jualan yang anda lakukan.

Sebagai agen jualan, anda tidak perlu mempunya modal yang besar, tidak perlu memikirkan bagaimana untuk mengurus peralatan pelayan web. Apa yang anda lakukan adalah mempromosikan pakej-pakej pengehosan syarikat pemilik pelayan web kepada umum.

Terdapat banyak cara dan kaedah yang digunapakai oleh pemilik pelayan web yang melantik anda sebagai agen jualan bagi syarikat mereka. Ada sesetengah syarikat akan membayar komisen yang tetap bagi setiap jualan, ada yang menawarkan komisen berperingkat - lagi banyak anda jual, lagi tinggi komisen yang dibayar. Ada juga yang menawarkan beberapa perkara yang boleh anda jenamakan dengan jenama anda. Sebagai contoh, ada yang memberi anda kebenaran untuk membina DNS anda sendiri.

Namun begitu, ciri utama perniagaan pengehosan laman web ini adalah, pakej dan aturan akaun telah ditentukan. Anda tidak boleh untuk membuat pakej anda sendiri, dan hanya menjual apa yang telah dipakejkan untuk anda menjual.

Bergantung kepada perjanjian anda dengan syarika pemilik pelayan web, anda mungkin dibenarkan untuk menetapkan harga anda sendiri dan juga menggunakan rekod DNS anda sendiri. Namun seperti yang dikatakan sebelum ini, pakej akaun pengehosan telah ditetapkan.

Begitu juga dengan pengebilan dan bantuan kepada pelanggan anda. Ada yang menyerahkan tanggungjawab ini kepada anda keseluruhannya di mana anda bertindak menjadi pengantara antara pelanggan anda dan pemilik pelayan web, ada juga yang memberi kemudahan untuk mereka mengutip pembayaran bagi pihak anda.

Secara ringkasnya, perniagaan pengehosan laman web menggunakan kaedah ini adalah:

  • Anda menjual pakej-pakej akaun pengehosan yang telah ditetapkan oleh pemilik pelayan web.
  • Anda mungkin dibenarkan untuk menetapkan harga dan menggunakan rekod DNS anda sendiri.
  • Anda mungkin dipertanggungjawabkan untuk memberi khidmat bantuan teknikal dan mengutip pembayaran sendiri.
  • Anda dibayar komisen mengikut jumlah jualan yang anda lakukan.